menghitung hari yang semakin pendek

Nemo Wagging Tail ...i love n miss u weet weet lalinggg...



rakan rakan saya :)

Tuesday, November 11, 2014

manifestasi manusia beku...

ketawa…
tersenyum seketika sebenarnya apabila melihatkan diri yang pernah jatuh dan rapuh boleh bangun kembali atas dasar kasih sayang daripada Kopi…kasihan melihatkan diri yang tidak terurus menyebabkan diri menarik dan memunggut kekuatan terakhir untuk membina sesuatu yang baru, lebih kental, lebih jitu daripada apa yang didendangkan oleh manusia lain seluruhnya…

aneh…
dia merasakan anehnya manusia lain yang tidak tahu tersenyum kepada manusia lain…masam mencuka sepanjang masa tanpa ada segaris aktiviti otot diwajah, kecuali wajah dan bibir yang melengkung…tidak kira dengan kedutan di wajah tertentu, berlapis – lapis bagaikan satu manifestasi manusia yang langsung tiada rasa…dia yang kenal hidup haruslah ceria dan penuh warna duduk mengira satu demi satu garisan di muka manusia yang tidak kenal erti senyuman dan berwajah marah sentiasa…

eh…
bukankah senyuman sesuatu yang berjangkit?
bila kita senyum dengan orang, orang akan senyum balik dengan kita?
dia pelik bila terjumpa ramai manusia yang kebal dengan virus senyuman…
kadangkala rasa mahu menjerit ketakutan…
senyum…

kadangkala orang yang kuat dan gagah di waktu siang adalah orang yang menangis sendirian di atas katil pada waktu malamnya…ironi? manusia perlukan ruang untuk diri sendiri…

perbualan dengan Kopi yang selalu berkongsi suka dan duka bersama sepanjang pertemuan menyebabkan diri tertanya – tanya, apa lagi yang manusia mahukan dalam hidup mereka tanpa menyakitkan orang yang pernah memberikan sesuatu dalam hidup mereka…tidak, bukanlah mahukan penghormatan atau penghargaan, tetapi sekadar ucapan terima kasih sudah cukup barangkali…

aneh bukan bila orang dewasa tidak pandai mengucapkan terima kasih, tatkala anak kecil berusia 3 tahun tertunduk – tunduk mengucapkan terima kasih walaupun  hanya diberikan sebiji gula – gula…
manusia memang aneh…

orang dewasa kadangkala terlampau angkuh…
mungkin tidak semua, tetapi ramai yang ego dan lebih banyak yang gemar menikam dari belakang…kita tidak boleh salahkan kanak-kanak yang membenci golongan dewasa yang mempunyai sifat dan sikap sebegini, kerana akuilah, kita pernah melalui zaman kanak – kanak yang sedikit kurang menyenangi tindak tanduk mereka yang lebih tua, walaupun acapkali kita mengulangi kesalahan kecil itu dengan sandaran, ah, aku lagi dewasa, lebih hidup lama, sudah makan banyak garam (yang menyebabkan kena darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya)…
senyum…

sebenarnya ada beberapa perkara yang terpaksa ditapis dan tentunya aku menulis atas kebenaran pendapat dari Kopi...tidak pernah aku dengar Kopi yang baik itu menyatakan, “biarlah kita tolong orang mana yang perlu…susah kalau kita bersungguh menolong, sampai satu masa, dia buang kita dan marah kita balik…macam melepaskan anjing tersepit, dia bebas, dia gigit kita semula”…
ya, sudah tersedia pendapat Kopi…

kadangkala kita jaga, kita bela, kita tatang, berikan kasih sayang yang sepenuhnya, tetapi akhirnya apa yang kita curahkan memakan diri kita semula…anehnya manusia bukan…


sisi gelap seorang manusia…
entah sejak bila ada manusia yang mahu kembali kepada diri dia yang lama…melalui kehidupan dengan identiti yang baru serta gaya yang baru agak menyesakkan fikiran dia…benci dengan suasana yang menghimpit, manusia itu pernah terfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya suatu masa dahulu…tidak…yang selalu menganggu fikiran dan pertimbangan wajar dia bukan manusia lain, selalunya manusia yang dia sendiri sayangi, yang dia hormati dan kasihi…

tersepit…
sakit…
perit…
menghimpit…
jerit…

manusia itu selalunya ketawa dengan gembira dan ukir senyuman bahagia setiap kali lensa menghala ke arahnya…tidak pernah masalah ataupun garisan wajahnya menunjukkan duka…tidak ada…kalaupun terakam dek kelajuan cahaya, mungkin wajah cemberut sahaja yang pernah kelihatan…itupun disebabkan kedukaan sepintas lalu yang tidak Berjaya disembunyikan…sekejab, jangan khuatir, dia masih ingat dengan janji Tuhan…

sempurnakan empat perkara tuan dan puan…
dimandikan…
dikafankan…
disolatkan…
dikebumikan…
itu yang disematkan…
dalam fikiran…
nota kaki :
diam dan hela nafas panjang…ini bukan kali pertama…sudah banyak kali manusia itu diuji…dia masih percaya dengan kata – kata bahawa manusia tidak akan diuji dengan satu perkara yang tidak mampu ditanggugnya…dia lihat diri dia masih kuat, masih mampu bertahan walaupun tanpa makanan…ralat jiwa kerana hujung minggu dihabiskan dengan hati yang keliru…kesakitan yang menghimpit marga, dan dia tidak usaha menolak akan jadi sia – sia dan penuh duka…


amyzanazlan : aku manusia beku yang seringkali senyum tidak mengira dengan siapa…mungkin aku sudah terbiasa dengan konsep, senyum dengan sesiapa sahaja dan aku biasanya menambah kenalan di mana – mana dengan dimulakan oleh senyuman…ah, memang di saat ini aku merasakan dengan senyuman, aku lebih kuat untuk menghadapi apa sahaja…ya, semuanya baik apabila aku senyum dan merelakan apa yang terjadi… 

Sunday, November 9, 2014

awak dan kopi...

apa makanan atau minuman paling menarik dalam dunia?

pada aku, yang kita berkongsi dengan orang yang kita sayang, suka, cinta adalah yang paling sedap…

macam kita makan dengan keluarga…walaupun hidangan itu mungkin tidak istimewa pada pandangan mata orang lain, tetapi bagi kita sekeluarga --- itu mungkin syurga kita…barangkali kenangan serta masa yang dihabiskan bersama di meja itu lebih berharga dari segalanya…

begitu juga dengan minuman adiktif yang selama ini dihirup sendirian tidak kira apa situasi…gembira pun belasah, sedih lagilah minum hingga lupa hidup adalah asbab dipinjamkan nyawa…

minum bersama dengan seseorang yang bawa dimensi baru dalam hidup, nilainya lebih tinggi daripada sekadar pesan – minum pandang luar – tekan gajet – hirup lagi – bayar dan pergi…
sebagaimana, adiktifnya minuman ini dalam kehidupan, begitu jugalah kehadiran awak dalam diri saya…bahkan barangkali lebih daripada itu…

ya, betul…
kalau ada awak dan kopi, saya akan pilih awak…

kenapa?

sebab awak boleh buatkan saya kopi, tapi kopi tak boleh buat awak…

hikhikhik…

Wednesday, October 29, 2014

Kopi - jiwa seorang cinta...

tatkala malam merenggut separuh nafas aku pergi
aku lihat masih ada cahaya muncul di sisi
cahaya yang menerangi sebuah daerah sepi
segumpal darah merah bernama hati

Kopi – kamu penakluk diri
kamu buat aku lebih hargai apa itu hakiki
nyata, puing cinta kamu buat aku tersentap dan bangun kembali
untuk menghirup kasih sayang abadi

Kopi – maaf kalau kamu lihat aku lemah tadi
maaf kalau kamu lihat aku tersungkur rebah ke bumi
hakikatnya aku tidak sampai hati menarik kau bersama ke mari
kalaulah tangan aku panjang, aku pasti paut bahu kiri
Kopi – jejaka yang aku cintai
terima kasih kerana sentiasa di sisi
aku tunggu kamu sayang, tunggu dengan sepenuh hati
untuk menghirup kasih sayang seorang pemuisi hati

Kopi
terima kasih atas sokongan hati yang utama
tulang belakang penyangga sang ceritera
diam dan mencari mata
mata hati sebuah cinta

Kopi – terima kasih atas sandaran hati
kehadiran kamu yang comot dan comel buat hati dipateri
senyum sayang, kamu buat aku bermimpi


“sedang berbual dengan Kopi tatkala ini…rindukan dia yang memenuhi rongga nafas ini”  

Monday, October 27, 2014

Kopi - apa yang saya suka pada awak? terima kasih kerana kembalikan matahari yang hilang...

Kopi…
apa yang saya suka pada awak agaknya…

disebabkan semalam di Instagram ada sekumpulan kawan-kawan yang bertanyakan tentang Kopi serta mahu membuaru dia, aku ketawa dan senyum sendirian…ada satu solan yang menjadikan aku lebih ketawa kuat sebenarnya…soalan itu adalah, apa yang aku suka pada si dia (berdehem – kawan-kawan tahu yang aku memang memilih orangnya)?
perlu jawab ke?
ketawa…

baiklah…
untuk tidak menghampakan, aku akan jawab secara umum sahaja…apa yang aku suka dan ciri-ciri si dia itu yang membuatkan kami boleh bersama…

  • dia sayang emak dia – bagi aku lelaki yang utamakan mak dia adalah lelaki yang baik…
  • senyuman yang terukir adalah senyuman yang menarik hati…
  • ya, dia boleh buatkan aku merajuk dan ketawa dalam masa yang sama…
  • agak degil dan serupa dengan aku…
  • hobi suka mendengar dan ketawa dengan riaksi gila aku yang menggelabah…
  • minat kepada bola secara berleluasa – lelaki yang minat bola nampak macho kamu tahu (senyum)…
  • ingatan yang kuat kalau ada apa sahaja yang aku lakukan – perlu berhati-hati-agar ia tidak digunakan kembali untuk mengenakan aku…
  • amat gemar minum minuman sejuk – sama macam aku (cuma aku lebih gila minuman berkarbonat)…
  • fikiran dia lebih terbuka untuk apa-apa isu sebagai bahas…
  • nakal – aku adalah mangsa buli (dan aku membuli dia smula juga)…
  • Kopi adalah nama gelaran yang aku berikan si dia atas sebab gelaran aku sebagai Frappucino – nampak serasi bukan (ketawa)…
  • nombor satu dalam keluarga, sama seperti aku juga…

baiklah…
macam aku nyatakan, itu hanyalah sebab umum yang aku boleh fikirkan buat masa ini…tentulah ada banyak lagi, cuma secara umum yang boleh dikongsi kepada yang bertanya…aku harap dapat memuaskan pihak yang bertanya ya?
senyum…

perbualan dengan seorang kawan pagi tadi mengingatkan aku kepada diri aku yang dulu…diri aku empat tahun lepas, yang menerima segala perlakuan dengan ketawa dan merejam penuh duka dan marah bila ada orang yang menyakiti aku…ah, zaman muda yang penuh sifat memberontak tanpa memikirkan kesan dan akibat asalkan dendam terlerai…sekarang lebih terkawal mungkin…

nota kaki :
  1. ini cerita aku…
  2. gambar yang diletakkan di blog tiada kaitan pautan…
  3. terima kasih atas doa yang kalian titipkan…
“terima kasih kerana mengembalikan matahari yang pernah hilang dari diri ini…terima kasih yang teramat sangat kerana sanggup memegang erat tangan dan membawa diri jauh dari kegelapan akibat asyik membina dinding pertahanan yang sejuk”
 

Wednesday, October 15, 2014

di saat segalanya selesai dan terjawab...

bila kita bersedia untuk memudahkan segala benda, jangan pernah untuk membanding beza dengan orang lain…jadilah diri kita yang sebenar dalam mencapai kebaikan yang kita tahu dan kita sedar dengan sebaiknya…di saat segalanya selesai dan terjawab, itulah ketikanya kita mendapat penghargaan dan pengiktirafan yang bukan sedikit daripada orang sekeliling kita…

sedar ataupun tidak, sesetengah daripada manusia sekeliling kita hanya berbual, mencari kita hanya mereka menghadapi masalah, memerlukan sesuatu dan apabila hajat mereka tercapai, secara ajaibnya, mereka akan menghilang begitu sahaja…ya, bila kehidupan mereka sudah bertambah baik, mereka hilang begitu sahaja…

dan itu membuatkan sebahagian daripada manusia (ya, mungkin kita-kita ini), yang lebih gemar menjadi penipu, pembelit, kaki temberang, kaki muslihat, dan sebagainya – hanya dengan tujuan untuk orang lain kagum dengan diri mereka…sukar menjadi diri sendiri yang kononnya tidak akan mempunyai kelebihan semata-mata takut untuk mengahdapi dunia…ya, mungkin dunia akan menghakimi kita secara buruk, secara negatif dengan siapa diri kita, tetapi bukankah menjadi diri sendiri itu lebih manarik?

sekejab…
kenapa aku tulis benda-benda begini sekarang?
oh, sebab aku sedang memberikan tumpuan kepada pembacaan aku…memang begini kalau aku sudah tenggelam dalam dunia yang aku sukai…aku selalu terfikir, indahnya kalau ada orang beri aku hadiah buku…berikan aku satu set buku dari rangkaian penulis yang aku gemari ataupun apa sahaja bahan bacaan yang aku suka kelek ke sana ke mari…dan ya, buat yang sudah lama mengenali aku, memang aku suka cium bau buku, nikmati sedikit demi sedikit dan memandangkan aku seorang yang membaca dengan pantas, aku sudah habis enam buah buku dalam minggu ini…semuanya aku beli secara atas talian…

kita semua pernah terjatuh…
mungkin ada parut yang tinggal kesan daripada kita terjatuh itu…
tetapi tahukah kita bahawa parut yang tinggal itu bukan kesan sebagai tanda peringatan betapa sengsara dan sakitnya kita, tetapi ia sebagai peringatan, betapa kuatnya kita melalui dan menghadapi kesakitan pasa suatu masa dahulu…ya, kalau kita pernah lari dari rumah, cedera dan sebagainya, kita tetap kembali pada rumah yang kita tinggalkan.

tidak…
tulisan ini bukan mahu mengajak kalian semua lari dari rumah, cuma mahu kita fikirkan sesuatu perkara…adakah kita akan kembali pada rumah yang kita tinggalkan? Adakah kita mahu cuba sesuatu yang melampaui keupayaan tanpa mahu menoleh ke belakang dan melihat apa yang pernah kita naungi selama ini?

aku memilih untuk duduk diam sebentar…
mahu melihat kembali bagaimana aku memulakan segalanya…
dari sekecil-kecil perkara…
ya…

sebolehnya, aku menulis yang pendek-pendek sahaja seperti dahulu layaknya…saat aku mula bertatih kembali, mengenal betapa bahasa kebangsaan aku mula terhakis apabila kesibukan membuatkan pertuturan dan pergaulan aku dengan bahasa ibunda sudah jadi entah apa-apa…ya, kembali kepada di mana aku bermula dan aku sedang mahu menulis sedemikian rupa…maaf kalau rumahnya penuh cacat cela…nah, aku kan masih lagi segumpal manusia yang punya cita-cita?

”lari dari rumah?
tidaklah…
itu cuma pengaruh dari bacaan aku saja…
tangan yang pernah menyeka kesakitan aku pada suatu ketika dahulu adalah lebih bermakna dan penting daripada beberapa tangan tidak terkira yang datang memberikan tepukan gemuruh dengan apa yang aku nikmati sekarang”


Sunday, October 12, 2014

jika ingin mengapai bahagia...

ramai manusia menyangka…
rezeki itu pada tingginya pangkat dan banyaknya harta…
pada besarnya rumah dan canggihnya kereta…
pada cantiknya isteri dan anak yang bijaksana…

tapi mengapa…
ramai yang berharta tapi masih berduka…
punya pangkat yang tinggi tapi sakit kepala…
punya rumah yang luas tapi sempitnya dada…
punya kereta yang canggih tapi hutang berjuta…
punya isteri yang jelita tapi hati sengsara…
punya anak yang bijak tapi derhaka…

sebenarnya…
bahagia itu letaknya dijiwa…
anugerah dari Yang Maha Mencipta…
buat mereka yang selalu berjasa…
juga yang takut pada tuhannya…

miskin kaya bukan ukuran…
asalkan hati tetap beriman…
disusul dengan ikhlasnya amalan…
ilmu yang sahih jadi panduan…


“jika ingin bahagia – doa dan terus berdoa…doa adalah senjata kita, memaafkan dan dimaafkan juga adalah sesuatu yang terbaik…tetapi tidak semua perbuatan itu harus dimaafkan sampai bila-bila” (amyzanazlan : 13/10/2014 – kedah – bedong – terengganu)

setiap daun yang gugur, DIA mengetahuinya...


setiap kehidupan manusia, disandangkan pada sisi Allah S.W.T…Allah S.W.T jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahui apa yang ada didarat dan juga dilaut…dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan ada tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang lagi nyata…

cuba dibayangkan, dalam dunia ini bilangan pohon yang berdaun tidak terkira banyaknya…apatah lagi jika kita cuba mengira bilangan daun yang ada pada setiap pohon yang wujud didunia ini…manusia macam kita tidak akan mampu untuk megiranya…

namun, Allah S.W.T tahu apa yang berlaku pada setiap pohon, tapi pada setiap helai daun yang tumbuh disetiap pohon…bila waktu daun itu tumbuh, bagaimana daun itu harus tumbuh dan bila saat daun itu akan gugur…

betapa luas dan telitinya pengetahuan Allah S.W.T dalam setiap urusan…

jadi, apakah yang membuatkan kita rasa kita mampu untuk bersembunyi dari Allah S.W.T ketika melalukan sebarang kesalahan atau dosa walaupun di dalam bilik gelap yang berkunci…

Allah S.W.T tahu segala-galanya, bahkan rahsia hati kita yang paling dalam pun Allah S.W.T mengetahuinya…


“andaikata daun saya gugur dahulu sebelum gugurnya daun kamu di syurga, jangan pernah menyesal dengan takdir Allah S.W.T kerana perancangan Allah S.W.T adalah yang terbaik buat kita…Allah S.W.T tidak pernah silap untuk mengatur segalanya…jaga amanah Allah S.W.T yang dikurniakan kepada kita dengan sebaiknya kerana Arjuna hati kita sentiasa dalam hati sampai bila-bila…itu saja harta peninggalan saya buat kamu”


Monday, October 6, 2014

demi hati-hati itu...

satu demi satu dilalui dengan menahan kekuatan daripada di gunakan di tempat yang tidak sepatutnya…cuba memahami bahawa dalam memilih jalan hidup yang sedikit berbeza dengan orang lain, aku perlu tabah dalam memilih apa yang aku mahu atau aku percaya…

sehingga kebenaran itu dibukakan buat aku --- aku cuma diam dan kirimkan doa agar segalanya bakal baik-baik sahaja…barangkali aku sudah terlalu tegar atau tepu dengan segala benda yang dihadapi buat masa ini…bila punya ruang untuk aku rehat, aku rebahkan diri di pembaringan dan enggan mahu ambil tahu tentang apa-apa.

biarlah…
hati dan badan sudah terlalu banyak digunakan sehingga tahap layu…lembik, dan tidak berdaya tetapi atas sebab tidak mahu menghampakan permintaan orang lain, di gagahkan juga…masih bangun dengan bertongkatkan lengan dan tampal senyuman bagaikan tiada apa yang terbazir dalam setiap pergerakan…biarlah…

senyuman yang paling berharga sudah lama hilang ditelan masa…yang tinggal barangkali senyuman paksa demi meneruskan kelangsungan hidup…sudah lama tidak ketawa kerana benar-benar gembira…tidak dapat dijangka dengan wujudnya manusia yang perlu dihadap sepanjang usia --- keletihan itu lebih sukar dibendung…perasaan berbaur dengan rasa hormat yang semakin menipis tetapi berusaha untuk dikekalkan…positif itu penting tetapi bila diuji berulangkali – ah, alangkah pemadam juga menipis bila dilanyak setiap kali, apatah lagi hati manusia kan?

ujian apakah yang bakal menjelma lagi…
entah kuat atau lemah nak menghadapi benda begini…
buat masa ini ---
kekalkan senyuman dan doa perasaan negatif mati…
dan biarkan mulut itu berhenti…

“aku punya hak atas manusia itu --- orang itu…salahkan kalau minta izin dari aku dahulu? salahkah kalau bertanya dari aku dahulu? kenapa mesti melangkaui dari batas hak itu? --- aku punya banyak hati mahu dijaga…bersuara takut disalah ertikan, bilang aku berkira barangkali --- kedekut --- …diam aku sendiri yang sakit…entahlah, sampai bila aku harus mengalah…perlu berbesar hati untuk semua orang, tapi adakah semua orang juga berbesar hati untuk aku? doa yang baik-baik saja “


“mengalah bukan beerti kalah…mengalah itu tandanya kamu punya hati yang kuat”

Tuesday, June 10, 2014

barangkali begini...


barangkali, aku akan kekal begini…
walaupun sudah jadi isteri…

mungkin aku ditakdirkan sedemikian rupa...
jadi cengang bila memikirkan keluarga…

rapuh jiwa…
bila aku merenung diri aku tanpa keluarga…
yang menjaga, melindungi aki sehingga dewasa…
tidak pernah melepaskan walau seketika…

sayu…
setiap kali aku mendengar suara seorang ibu…
bila pulang ke teratak, ditanya bapa – apa yang aku mahu…
walaupun aku sudah dibawah tanggungan seorang suami yang pemalu…

selang sehari, aku perlu dengar suara mereka…
dengar kata – kata yang menyejukkan jiwa…
yang memberikan aku ketenangan untuk teruskan kerjaya…
di saat aku memberontak mengikut darah muda…

barangkali benar…
hati panas menggelegak boleh bikin onar…
hanya orang tertentu boleh memagar…
dari insane terus terbakar…

jika punya rezeki awal menjadi seorang bonda…
diizinkan oleh Maha Kuasa…
aku masih mahu menjadi anak yang bersandar pada keluarga…
yang tidak lupa bagaimana mereka berkongsi rasa…
bersama keluarga kecil yang sedang aku bina…

masih berharap…
tuhan pinjamkan aku masa…
untuk menikmati hidup dengan mereka…
berbakti walaupun seketika…

pinjam sedikit…
agar emosi aku tidak lagi terjentik…

Monday, June 2, 2014

orang macam kami...

 
untuk orang macam kami…
hanya kami yang kenal sendiri…
yang hidup punya satu niat dalam hati…
untuk cari kegembiraan abadi…

orang macam kami…
tak perlu kekayaan tidak bertepi…
bukan sanjungan yang kami nanti…
tapi sedikit penghargaan sebagai bukti…
bahawa kami wujud dalam kelompok sepi…

orang macam kami…
bukan kisah paras rupa yang diagungi…
bukan kisah ukuran badan tinggi atau rendah…
yang kami mahu hanyalah paras budi…
yang tidak akan dilupakan sampai mati…

orang macam kami…
tiada lagi tangisan – sudah berhenti…
yang kami kenal cuma baiknya hati…
yang kami tahu cuma gembirakan diri…
supaya kesakitan itu bakal lenyap kini…

 
orang macam kami…
sedihnya cuma sesekali…
sifat pura – pura sudah lama kami tenggelami…
air mata sudah lama kami buang dari jadi saksi…
supaya kami tegak berdiri…
tabah walau apa jua cabaran dihadapi…
supaya kami tidak tua menjadi apa yang  kami disakiti…

orang macam kami…
memilih hidup sendiri…
supaya kami tidak ulangi…
kebencian yang dilemparkan buat kami…
yang tidak pernah minta jadi begini…

amyzanazlan…
alor setar – bedong – kemamam…
3 Jun 2014...

Wednesday, April 9, 2014

cinta seorang pelaut...

apabila seorang pelaut jatuh cinta,
maknanya pasangan pelaut itu mesti seorang yang luar biasa…

apabila seorang pelaut itu memilih pasangan,
maknanya pasangan pelaut itu seorang yang tabah dan setia…

apabila seorang pelaut itu ingin berkahwin,
maknanya pasangan pelaut itu tahu apa yang bakal dihadapinya…
ini adalah kerana, apabila pelaut itu sudah memulakan tugasnya, pasangannya akan ditinggalkan didaratan…menjalani kehidupan tanpa suami atau isteri…membesarkan anak seorang diri…memikul tanggungjawab seorang diri…oleh itu, pasangan pelaut akan mengambil keputusan untuk berpisah dengan kamu buat sementara waktu…itu tandanya, dia menyayangi diri kamu lebih dari pengetahuan kamu…dia tahu kamu bersedih menunggu kepulangannya…dia tahu kamu menjalani kehidupan tanpanya…dia tahu kamu membesarkan anak seorang diri…dia tahu kamu menyelesaikan masalah tanpa dirinya…jika kamu sanggup menjadi pasangan pelaut, cinta kamu begitu tinggi nilanya…
amyzanazlan : terima kasih kerana membaca…maaf jika ada pendapat aku yang kurang tepat ataupun mungkin menyinggung mana – mana pihak di luar sana…sesiapa yang mahu mengutarakan pandangan masing – masing, bolehlah berkongsi dengan meninggalkan komentar…

Saturday, March 22, 2014

empat puluh tujuh...

 
benda yang paling mana – mana perempuan (biasa) benci dengar adalah berat badan tiba – tiba meningkat tanpa disedari…tambahan pulan, dengan diumumkan dalam satu bilik yang dihuni dengan aanya manusia lain, syukur juga lantai diperbuat daripada simen…kalau daripada tanah, barangkali sudah digali dan disembuyikan muka…

hehehe…

itu salah satu ujian yang aku tempuhi dalam perjalanan hidup yang allah aturkan…barangkali dengan suasana yang menuntut aku bekerja tidak kira masa, aku jadi sedikit mengabaikan rejim pemakanan biasa aku disamping minda lebih memikirkan apa yang aku patut ambil sebagai makanan tambahan bagi meningkatkan daya tahan (serta memenuhi permintaan pengamal perubatan)…

benda begini adalah benda bukan rutin buat aku…bahkan kali pertama berhadapan dengan kesukaran untuk menolak dan saling berbolak balik dengan pendirian sendiri…aku amhu penuhi keinginan mengurangkan berat badan mendadak sebelum menemui pengamal perubatan pada pertemuan akan datang, tapi dalam masa yang sama aku perlu fikirkan khasiat yang bagus untuk badan…ditambah lagi dengan kekangan masa, godaan juadah tak kira masa --- hidup tanpa nasi aku yang berjalan baik dahulu, malangnya aku tak boleh laksanakan ketika ini…

tunggu…
aku perlu dapatkan penimbang peribadi…
jadi, naik turun pasaran saham (hikhikhik) berat badan boleh diperhati…

amyzanazlan : enaknya lihat orang mencicip minuman adiaktif kegemaran aku…sekarang aku hanya mampu perhati dan hidu aromanya sahaja…dapat bau dari cawan orang sebelah pun sudah bikin aku gembira…

Tuesday, March 18, 2014

kenapa Frappucino bina dinding daripada didekati oleh orang : kaca hati Frappucino penuh kesan calar balar parut hodoh...

kenapa aku seperti mewujudkan dinding antara diri aku dengan manusia lain…peramah, senang didekati tetapi sukar untuk difahami…bila Kopi menyatakan demikian, aku menyedari sesuatu…Kopi, seperti juga bantal busuk, dapat melihat jauh ke dalam diri aku yang berusaha keras mengasingkan diri daripada disakiti lagi…

sakit…
lali dibawah pengaruh lambakan pil berwarna biru lagi..
biarlah…
senyum…

dinding tidak kelihatan…
aku mungkin manusia yang sentiasa telus dan berusaha membuatkan orang lain gembira walaupun hakikatnya aku sendiri yang cedera…disebabkan pernah tercedera dengan teruk suatu ketika dahulu, aku mengubah diri aku menjadi lebih meredhai apa yang aku lalui…walau sakit sekalipun, asalkan orang disekeliling aku tersenyum gembira, aku akan tersukan juga…ah, bukankah aku perlu senyum supaya semuanya sentiasa baik? hakikatnya, kesakitan itu semakin lama, semakin memakan diri dan ternyata, aku yang tanggung sendiri…

senyum…
sakit sendiri…
ubat sendiri…
sembuh sendiri…
itu prinsip diri…

Kopi : kenapa awak bina dinding antara awak dengan orang lain?
Frappucino : dinding?
Kopi : ya, awak bina dinding dari didekati orang lain…sebab awak selalu terluka?
Frappucino : mungkin…entah, hati saya macam kaca…
Kopi : maksudnya?
Frappucino : hati saya macam kaca…penuh calar balar, penuh parut hodoh menahan sakit dan sengsara…saya bertahan dan saya takut, kalau satu hari nanti kaca ini pecah, saya akan lukakan diri sendiri dan orang sekeliling saya…kalau saya sendiri tidak mengapa, tapi bagaimana dengan orang lain?
Kopi : faham…

disebabkan itu juga, bila aku didekati dengan baik oleh sesiapa sahaja, aku membuka ruang sedikit demi sedikit agar aku juga boleh menjalani hidup seperti manusia biasa…jika orang hulurkan persahabatan, aku menerima dengan hati terbuka, dan aku akan menggila bila aku dikhianati semula…ramai, aku punya ramai kawan di alam reality dan maya, tapi teman yang memahami?

blog ini tempat aku mencurah rahsia hati…
blog ini tempat aku simpan kemas coretan buat mereka yang mengerti…
blog ini bukan sekadar tempat aku bermain seni…
blog ini lebih kepada perwakilan diri…

Kopi, paling dekat dengan aku…Kopi adalah pencentus idea aku dalam segala segi…

tidak memilih warna kulit…
sesiapa yang kenal aku di alam reality dan juga maya, tahu aku tidak pernah memilih kawan…bahkan orang sering bertanya kepada aku, bagaimana aku boleh kenal dengan mereka – mereka yang mungkin sungguh asing daripada aku…aku seorang yang mudah…orang buat baik dengan aku, aku juga buat baik dengan orang…orang buat jahat dengan aku, balasannya aku akan fikirkan mengikut keadaan…mudah kan?

dan aku perlu tahu sesuatu…
tidaklah penting mungkin bagi kamu…
tapi penting untuk aku…

kalau aku sudah menyukai seseorang itu (sebagai contoh : lesung pipi yang ada di pipi kiri dan kanan Kopi), aku memang suka sepenuh hati…aku tidak kita apa yang terjadi pada diri…
senyum…
itu sebagai contoh terdekat aku…

keluarga kekuatan diri…
begitu juga halnya dengan keluarga…
itu antara penyebab kenapa aku perlu kuat…

walaupun kekuatan aku sering diuji dengan perbalahan kecil dan ujian berskala sederhana daripada keluarga, aku mengerti tanpa mereka, aku mungkin sampah yang tiada nilai di dunia…

air mata tumpah…
setiap malam aku tewas…
aku kalah…
kemarahan aku membuak seiring dengan kesakitan aku…

pertahanan diri aku dicerobohi dengan kata – kata yang memakan diri...
aku sedar yang aku bukan baik…
aku manusia jahat…
orang lain semua malaikat dan aku salah…

tidak…
anak – anak sedara Puan Mulia adalah yang terbaik, rajin dan boleh diharap…aku ini adalah musibat yang langsung tidak akan kenal erti suka dan gembira…
anak ini anak bius yang tidak pernah berjaya…
aku kan si tuba yang tidak pernah memberikan apa – apa…
siap aku mahu dibandingkan dengan mereka yang lebih baik dan mulia?
aku bukan ada nilai signifikan ataupun bermakna…
aku manusia penuh cela…
kisah aku dijaja…
dari mulut ke mulut barangkali sedangkan Kopi tidak punya masa di darat untuk di dekat oleh semua makhluk manusia…
bila berjumpa, semua mata serong memandang aku yang terpinga – pinga…
ah, nasib baik masih ada yang bocorkan rahsia…
baru aku tahu nilai aku pada mereka…

senyum…
kesat air mata…
kenapa aku terlampau mengikut hati?
biarlah orang lain mahu benci…
aku patut mati sendiri…

aku tidak pernah kata aku baik…
aku tidak pernah mendabik dada kononnya aku telah berjaya…
bahkan aku bukan apa – apa…
aku tiada nilai dimata semua…
tapi salahkah aku amhu sedikit bahagia?

salah!
walaupun kau dilamar pekerjaan dahulu berbanding mereka, aku tetap ada cela…
kau pemalas, kau penuh cacat disetiap aspek pada pancaindera mereka…
senyum, duka…
pahitkan?
aku telan sahaja…

senyum…
kuatkan diri…
girangkan hati…

kau tahu kan?
aku senyum bukan kerana semuanya baik…
tapi aku percaya semuanya akan baik kalau aku senyum…
cukuplah…
aku sudah lali dengan jarum halus penuh sakit dan benci…
:: menangis sambil ketawa itu bagus walaupun tahu hati bengkak menahan rasa hati ::
:: sejuk ::
:: perlukan tidur selepas mengambil banyak ubat secara berlebihan, tapi mata tidak mahu mengikut kehendak tubuh…susah untuk dimengerti bukan ::

amyzanazlan : kadangkala aku tahu aku perlu mengalah…tahan segala marah…sebab mengalahnya aku buka beerti aku kalah…tapi lebih kepada kemenangan mutlak suatu hari nanti…buat masa ini, biarlah mereka semua bergendang dan menari…aku kurung jiwa dalam satu almari (selasa, 18/2/04)

:: pesan Kopi tercinta pada Frappucino tersayang ::

“ jangan sedih kalau ada yang tak faham kita, kita hidup bukan untuk mendapat redha manusia…tapi kita hidup untuk tunaikan perintah allah “

“ tak semua rindu boleh diluah…
tak semua cemburu perlu diberitahu…
tak semua sayang harus ditunjuk…

ada perkara, lebih baik menjadi rahsia “